Imej khas: Ku Klux Klan pada tahun 1990. Pix oleh Carl De Keyzer.
Pelbagai pergerakan yang muncul daripada kalangan masyarakat Melayu-Muslim Malaysia beberapa tahun kebelakangan ini membuat penulis teringat kepada pengalaman dan pemerhatian yang dibuat semasa menuntut di Amerika Syarikat tak lama dahulu. Khususnya, di negeri-negeri selatan Darul Injil atau “Bible Belt”.
Masyarakat di sana secara umumnya konservatif dan pengaruh gereja di peringkat komuniti juga amat kuat. Tak kira samada di kawasan majoriti berkulit putih, keturunan Afrika mahupun Latino, pengaruh agama dalam membentuk masyarakat di negeri-negeri selatan Darul Injil jelas dalam kehidupan harian dan politik mereka.
Perkara ini juga dapat di lihat di kalangan masyarakat Melayu-Muslim Malaysia sejak lebih kurang 20 tahun yang lalu. Bezanya di Malaysia kuasa masjid dan surau masih terletak secara langsung dalam tangan kerajaan dan parti-parti politik. Dari aspek kehebatan penyebaran dakwah juga lebih kurang sama seperti di Malaysia hari ini di mana terdapat pelbagai bentuk dakwah dalam akhbar, televisyen dan radio.
Tambah lagi di negeri-negeri Darul Injil masih kelihatan kesan sejarah Konfederasi Selatan ke atas masyarakat di sana. Di kalangan golongan berkulit putih Kristian masih ada yang mengibarkan bendera Konfederasi di laman kediaman dan kenderaan mereka. Budaya ini wujud meskipun sudah lebih satu abad sejak berakhirnya perang saudara di antara pihak Konfederasi dan negeri-negeri Perikatan Utara.
Lambang Konfederasi kini secara amnya dipandang hina oleh masyarakat umum kerana membawa maksud kebanggaan ketuanan masyarakat berkulit putih terhadap bangsa-bangsa lain serta penerimaan penggunaan hamba abdi dalam sistem ekonomi tempatan. Ia juga disangkutkan dengan sejarah keganasan puak kulit putih berhaluan kanan, Ku Klux Klan, terhadap masyarakat berketurunan Afrika.
Perkara di atas tidak boleh disamakan terus dengan mana-mana puak Melayu-Muslim di Malaysia. Sejarah Konfederasi berasal dari puak kolonial berkulit putih yang memegang kuasa politik dan ekonomi sehingga hari ini. Masyarakat Melayu-Muslim pula sebuah masyarakat yang pernah dijajah oleh kuasa kolonial dan pernah kehilangan kuasa politik dan ekonomi selama bergenerasi—walaupun sistem monarkinya terus wujud.
Selain itu puak-puak politik Melayu-Muslim terhasil daripada pengalaman kolonialisme, maka dari aspek asal-usul dan psikologi amat berbeza. Namun, dalam konteks sosio-politik komtemporari masyarakat Melayu-Muslim muncul bibit-bibit persamaan dengan politik Konfederasi masyarakat berkulit putih di Darul Injil dahulu.
Walaupun sasaran ekuiti untuk masyarakat Melayu-Muslim dikatakan masih belum tercapai, kewujudan dan perkembangan kelas pertengahan golongan ini menunjukkan bahawa kedudukan ekonomi mereka semakin kukuh.
Dari segi politik pula kuasa masih lagi dipegang oleh parti-parti politik Melayu-Muslim walaupun terbahagi kepada dua kelompok yang bertentangan. Selagi masyarakat Melayu-Muslim terus memilih wakil mereka berdasarkan bangsa dan agama, maka kuasa politik mungkin akan terus dipegang oleh puak-puak politik Melayu-Muslim.
Kombinasi kekuatan ekonomi dan politik memberi masyarakat kontemporari Melayu-Muslim kuasa yang besar. Tapi, jika kuasa itu terus ditumpukan kepada agenda ketuanan Melayu-Muslim, maka senang terjebak dengan budaya sosio-politik seperti pada zaman “kegemilangan” Konfederasi masyarakat berkulit putih yang dikatakan tadi. Kuasa dalam tangan akan digunakan untuk menindas elemen-elemen yang disyaki menggugat kedudukan mereka.
Malaysia mungkin masih belum melihat sebuah pergerakan ganas seperti Ku Klux Klan, tapi kita sudahpun ada puak-puak yang mirip sepertinya yang melafazkan niat sanggup bertumpah darah. Perlu diingatkan di sini bahawa semboyan “14 words” Ku Klux Klan tidak banyak berbeza dari slogan puak-puak politik Melayu-Muslim di Malaysia. Yang lebih membimbangkan, perlaksanaan undang-undang negara hari ini nampaknya lebih berpihak kepada puak-puak ini.
Jika masyarakat Melayu-Muslim Malaysia tidak mula bermusabahah diri kemungkinan boleh tersungkur jauh ke hala ekstrimisme seperti yang dilihat berlaku dalam sejarah di negeri-negeri Darul Injil. Mereka akan dipandang hina oleh masyarakat dunia bertamadun termasuk masyarakat Malaysia yang lain. Biarpun satu abad berlalu kesan kurap dari segala gejala ekstrimisme itu mungkin akan terus dirasai oleh masyarakat umum dan imej Islam pula akan terus tercemar.
Janganlah kita mudah terpedaya dengan lafaz nawaitu Islam mana-mana puak seperti ini. Malah, Ku Klux Klan juga menganggap puak mereka puak yang soleh dan beriman.
Comments 2
Author
menakutkan.
Saya rasa, ramai di kalangan para politikus Malaysia hari ini tersumbat dalam jamban ekstrimisme tak kira bahasa, bangsa atau agama, bahkan keadaan ini diamalkan sejak zaman penjajah. Apabila Rakyat mula menerima apa-apa usaha pihak perintah-penjajah untuk menghapuskan “ancaman” atau “cabaran” tanpa memahami apa the hell ancaman itu, maka Rakyat mula menerima kekuasaan dan kewibawaan sahaja sebagai baik dan mulia.
Saya rasa, Rakyat Malaysia hari ini pada umumnya sayang sangat pada autoritorianisme, dan apabila satu sahaja fahaman dianggap “betul” oleh sesuatu puak, muncul lah kabilah2 dan puak2 politik ekstrim. Lebih lagi, apabila sesuatu fahaman terfonkius jadi kewibawaan umum, muncul lah “ketamadunan” yang ditentukan sepenuhnya oleh kemampuan seseorang mempertahankan kabilahnya daripada serangan “musuh” kabilah lain.
Kite semua jauh lebih mudah tersungkur ke kaki lima ekstrimisme jika masih kuat percaya bahawa puak sendiri pantang dicabar, dan yang lain wajib dikutuk kaw2 sehingga mati kerana mereka semua salah, kami sahaja yang betul.