2

Warna-warni kehidupan dan ummah di Malaysia

Image khas: Masjid Chawkbazar Shahi, Dhaka. Pix oleh Nasir Khan.

Tempoh hari penulis membawa seorang pelawat dari luar negara pergi menziarahi sebuah kuil di Petaling Jaya. Semasa menunggu di perkarangan kuil sementara pelawat tadi beribadah, kelihatan tiga orang mak nyah atau transgender berjalan masuk melalui pintu utama. Tersentak seketika melihat betapa senangnya mereka memasuki rumah ibadah dan tanpa apa-apa halangan daripada sesiapa pun.

Penulis tertanya apakah sama kejadian ini jika berlaku di masjid atau surau? Adakah golongan mak nyah Muslim yang dengan sukarela mahu mendekati rumah ibadah akan diberi layanan yang sama oleh saudara Muslim yang lain?

Rasanya tidak. Tak mungkin golongan mak nyah yang beragama Islam akan diterima secara terbuka oleh saudara-saudara Muslim jika mahu mendekati rumah ibadah dalam keadaan persona mereka yang sedia ada. Maka dengan begitu sahaja mereka tersingkir daripada apa jua aktiviti keagamaan yang melibatkan pergaulan dengan saudara Muslim yang lain.

Adakah ini matlamat kolektif ummah di Malaysia? Ketara di negara ini perkara kosmetik atau paras luaran amat penting sekali, malah seolah-olah lebih penting daripada perkara yang lebih halus seperti niat dan iman.

Lebih bernasib baik adalah golongan homoseksual dan biseksual Muslim yang berupa “normal”. Mereka bebas memasuki masjid atau surau dan menyertai aktiviti keagamaan tanpa diskriminasi asalkan paras rupa mereka tidak kelihatan “songsang” dan sanubari mereka yang sebenarnya dirahsiakan jauh di dalam lubok hati.

Samada golongan ini menganggap sifat dalaman mereka sebagai satu kepincangan atau fitrah, wallahu’alam. Bagi penulis, ianya urusan di antara mereka dan Pencipta mereka. Rumit bagi golongan ini apabila isu dosa dan pahala yang sebenarnya kuasa mutlak Allah SWT diberi hak penyelarasan dan penguatkuasaan kepada manusia biasa.

Sumbangan tenaga kerja, buah fikiran, cukai dan zakat daripada golongan ini bukan saja diterima malah dituntut oleh masyarakat dan negara. Namun identiti, perwatakan dan sifat sanubari mereka dijijikkan sehingga ada yang sanggup mengugut untuk membunuh mereka. Ada pula kes lain di mana individu mengalami tekanan jiwa yang terlampau sehingga jatuh sakit dan berlaku kematian.

Walaupun sudah wujud beberapa undang-undang mengharamkan cara hidup golongan ini, namun baru-baru ini sekurang-kurangnya dua buah negeri di Malaysia mencadangkan agar enakmen dalam undang-undang syari’ah dipinda untuk membolehkan tindakan diambil terhadap mereka yang beragama Islam khususnya.

Secara umum ummah hari ini merasakan bahawa kecenderungan atau sifat tabi’i golongan ini dibuat-buat dan akibat terpengaruh dengan budaya rekaan Barat. Tapi apa pula pendapat ummah terhadap kanak-kanak yang menunjukkan bibit-bibit sifat golongan ini? Dari mana datangnya sifat ini jika wujud dalam kanak-kanak yang secara amnya belum tahu-menahu berkenaan seksualiti?

Pada bulan April lalu tercetus kontroversi apabila dilaporkan bahawa Jabatan Pendidikan negeri Terengganu telah menghantar 66 pelajar sekolah yang bersifat “lelaki lembut” ke kem pemulihan khas.

Tindakan tersebut dianggap sebagai bertentangan dengan perjanjian antarabangsa Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang telah ditandatangani kerajaan Malaysia. Proses pemilihan pelajar dalam program-program seperti ini jelas berbentuk diskriminasi dan pasti akan ada kesan terhadap emosi, psikologi dan pergaulan mereka.

Terdapat satu pergerakan di Amerika Syarikat yang dipanggil “It Gets Better”. Ia wujud ekoran peningkatan jumlah kes-kes bunuh diri di kalangan remaja dan kanak-kanak yang tidak tahan dibuli kerana mereka bersifat “lesbian-gay-biseksual-transgender” (LGBT), atau disyaki cenderung kepada sifat LGBT.

Pinggirkan seketika persoalan samada pergerakan ini patut wujud atau tidak dan fikirkan sebentar bahawa kes-kes di atas berlaku dalam konteks masyarakat Amerika Syarikat yang dianggap liberal, mempunyai pelbagai pertubuhan sokongan sosial dan penguatkuasaan undang-undang anti-diskriminasi.

Bagaimana pula agaknya kehidupan anak-anak yang mengalami dilema yang sama dalam konteks masyarakat di Malaysia? Siapa yang mahu mengiktiraf mereka dan bukan atas tujuan mendiskriminasi untuk “kebaikan” mereka sendiri?

Dalam semangat gah ummah untuk menguatkuasa dan menyelaras warna-warni kehidupan manusia, berapa agaknya di antara anak-anak ini yang telah, atau akan, kita “pulangkan” kembali kepada Rahmatullah?

Diterbit di The Malaysian Insider

Comments 2

  1. Actually Islamic religious never discriminate people,but in Malaysia a normal people thihk they are perfect sorry to say about malays perceptions.They dont accept (LBGT) especially transgender.But in the other islamic country they can go anywhere and do islamic practice and pray to the god.Allah accepted every body who are called “MUSLIM” what ever they are by that can encourage them to learn Islam without fears and discriminate.My advise here .No body perfect,we must respect each other,give a chance to everybody to do religious practice freely like Indians and Chinese transgender they are accepted by their communities and if you dont believe visit to Batu Cave you can see some of them very close to temple pries and they are so happy do the indians religious practice.There are so many things are wrong in Islamic law in Malaysia but a normal people think they are perfect.so what to say
    for example trensgender cannot wear a women dress but why if the women wear a man dress there is nothing wrong is it fair? thats why my freinds in Europe laugh at me when i told them this story last month.So funny ,buyers here and there hahaha

  2. You know my stand on LGBT. Tapi kalau sesorang boleh enlightened saya dimana tulis kata mereka tak boleh masuk masjid, saya akan baca dan cuba faham sebaik mungkin. Sedangkan anak kecil pun digalakkan ke masjid dan bersembahyang jamaah seiring dengan orang dewasa(walaupun banyak masjid lebih suka meletakkan mereka ditempat berasingan).
    I dont have enough knowledge to comment in detail. All I know is that kalau ingin berbuat sesuatu, buat sesuatu yang baik dan cuba memahami….

Share your comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.