Aku dan Dia

Keroncong berkumandang di dalam rumahku yang berhantu. Seringkali peti nyanyi itu terpasang dengan sendirinya. Selama ini aku biarkan saja kerana itu persefahaman aku dengan Si Dia. Kami serasi dalam soal muzik. Tapi kian hari aku terasa seolah-olah aku dipermainkan. Si Dia ingin cuba bermain dengan nostalgia membuat aku terbeku dalam fikiran, lalai mengenang silam yang takkan kembali. Tuti Tri Sedya berputar di piring hitam menjemput aku menyelam masuk ke dalam kegelapan. Aku mula rimas.

Hendak aku mencari cahaya tapi rumah aku tak berjendela. Terdesak, aku membuka pintu namun hanya sempat terpandang pijar suria yang sedang surut ditelan malam. Tenang luaran aku semata-mata tak mahu perasaan hampa di dalam hati terzahir kepada Si Dia yang sentiasa memandang. Hari-hari aku pendek tapi malangnya nyawa aku tak begitu. Aku hirup udara malam sambil mendongak ke langit, mencuri pandang bintang-bintang yang mula mengerlip. Mujur masih ada cahaya walaupun diselubungi hitam.

Dimanakah kau, Mega Mendung? Terang malam bila kau tiada. Datanglah dan bawa aku pergi.

Kurang lima minit aku berangan-angan lewat seorang tetangga; Pujangga buah hati yang tak pernah hendak menziarah masuk ke dalam rumah aku. Pernah aku ajak untuk duduk-duduk di atas beranda tapi tak sekalipun undangan aku disambut terima. Namun setiap senja pasti muncul batang hidungnya untuk saling bertukar kata sambil terpacak di laman luar aku. Kerusi sepasang sudah aku sediakan dengan harapan suatu hari kelak akan diterima juga jemputan aku akhirnya. Tapi hari tersebut takkan tiba.

Kerusi-kerusi yang tersedia di atas beranda pernah aku lontarkan satu sumpahan yang besar. Aku meletakkan syarat: Sesiapa yang sudi duduk di atas mana-mana kerusi itu mestilah dari golongan orang yang baik-baik, murah hati dan berani untuk merobohkan rumah aku yang tak berjendela ini—termasuk penghuninya, Si Dia. Itulah hasrat aku. Tapi mungkin lebih baik aku letakkan saja duri-duri besi bersalut racun di atas kerusi-kerusi itu. Sekurang-kurangnya jelas sebabnya tak ada siapa pun yang sudi hendak duduk. Mata mana yang boleh ternampak sumpah selain mata Si Dia?

“Dah Maghrib masih lagi di luar?” tanya Pujangga. “Kerana Maghriblah aku diluar,” jawab aku. Apa bezanya di dalam atau di luar pada waktu ini? Apa bezanya di dalam atau di luar pada bila-bila masa pun? “Bagus koleksi keroncong kau ya? Keroncong ini satu-satunya genre muzik yang menyayat hati. Bunyi biola dan seruling dalam keroncong pula umpama kata-kata puitis yang tak berlirik,” katanya sambil melihat ke langit. Aku hanya mampu menjawab kepadanya dengan ringkas, “Tak juga. Irama tango pun begitu rasanya”.

Kenapa masih kau terpacak di luar? Lemahkah kau? Jahatkah hati kau? Jemputlah duduk.

Sebentar kemudian dia pun menghilang dari laman dan aku kembali keseorangan. Si Dia memandang aku dari dalam rumah, memanggil aku masuk tanpa mengguna kata-kata. Tak perlu aku memandang Si Dia untuk tahu hasratnya. Mata aku menumpu pada titik hitam di hujung malam nun di sana. Otak aku mengerah seluruh keupayaannya untuk menjadi tabah. Hati aku bersiulkan qasidah. Entah berapa jam aku di beranda akhirnya terhenti keroncong daripada berkumandang apabila jarum peti nyanyi menggores permukaan piring hitam secara tiba-tiba.

Saat itu juga aku ternampak bayang-bayang jingga mula muncul di kaki langit. Aku bangkit dan berjalan ke arahnya. Setiba aku terjejak ke dalam air laut, hati aku berbisik kepada Si Dia:

Kau tewas akhirnya.


Projek Menulis adalah satu perjanjian antara 3 orang anak muda yang malas menulis agar merajinkan diri untuk menulis. Instagram ini juga dikisahkan oleh Latifah Omarr dan Syakirah Ahmad.

Layari Instagram @rayyiuradzi.

Share your comment