6

Angkara kita hudud di Parlimen

Imej khas: Perhimpunan massa di Kuala Lumpur. Pix oleh Juana Jaafar.


Kebelakangan ini jentera propaganda parti PAS giat menafikan usul persendirian pindaan Akta 355 Mahkamah Syari’ah (Bidangkuasa Jenayah) yang dibawa Presidennya adalah berkaitan hudud. Pihak yang menggunakan istilah “undang-undang hudud” diselar dan dikatakan cuba mengelirukan masyarakat daripada hal sebenar iaitu untuk “memperkasakan mahkamah syari’ah”. Ini helah PAS.

Realitinya pindaan yang dimaksudkan akan membuka pintu kepada perlaksanaan hudud, sesuatu yang telah diperjuangkan PAS selama berdekad. Media Harakah milik PAS sendiri menerbit rencana-rencana mengaitkan atau menggunakan istilah “undang-undang hudud” dalam tulisan tentang usul Presidennya di Parlimen. PAS tahu jika diusulkan terang-terang “undang-undang hudud” pasti sukar mendapat sokongan ramai.

Walaupun sudah lama diperjuangkan PAS, hudud tidak pernah menjadi agenda atau aspirasi masyarakat aliran utama mahupun dalam politik nasional. Apatah lagi hendak diterapkan dalam perundangan negara. Sehingga sepuluh tahun lalu tidak dapat dibayangkan usul undang-undang berkaitan hudud akan mendapat lalulan di Parlimen dan disokong pula pelbagai pihak termasuk pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO.

Dahulu saranan perlaksanaan hudud PAS tidak mendapat sambutan dan sebaliknya menyebabkan PAS dilihat sebagai parti yang visinya cetek dan terbatas. Justeru pengaruhnya juga terhad dan PAS sendiri tahu akan kebenaran ini. PAS mula diambil serius apabila mendukung pergerakan massa Reformasi mulai 1998 dan bersatu bersama Keadilan (kini PKR), DAP dan PRM dalam pilihanraya ke-10 pada tahun 1999.

Dikatakan PAS mengetepikan agenda hudud pada masa itu demi menghadapi pilihanraya dengan satu suara kolektif untuk menjatuhkan kepimpinan UMNO dan BN yang rakus. Hari ini kita tahu agenda hudud PAS hanya sekadar ditangguhkan. Tetapi strategi pilihanraya itu membawa hasil yang paling menguntungkan PAS dan PKR apabila mendapat banyak sokongan terutama daripada pengundi Melayu.

Apakah pengundi tiba-tiba menyokong PAS dan parti pembangkang lain kerana mahukan undang-undang hudud? Tentu tidak kerana agenda hudud PAS dipercayai telahpun diketepikan. PAS mendapat undi, terutama daripada orang Melayu, kerana rasa hampa dan marah mereka terhadap UMNO dan BN. Walaupun BN gagal ditumbangkan, pilihanraya tahun itu melihat pengundi memberikan lebih kuasa politik kepada PAS.

Semenjak itu isu hudud terus timbul dan tenggelam sama ada dibangkitkan oleh PAS sebagai peringatan terhadap identiti parti ataupun dilontarkan oleh UMNO dan konco-konco BN untuk mencabar hubungan PAS dengan DAP. Parti pembangkang lain pula cuba mengalih perhatian daripada konflik ideologi yang wujud antara mereka. Walau apapun, perubahan dinamik politik negara menetapkan isu hudud bukan lagi satu isu kecil.

Persaingan menjadi sengit antara parti-parti majoriti Melayu untuk cuba “membuktikan” tahap Islamik masing-masing dan mempengaruhi sentimen politik golongan Melayu dan Muslim. Natijahnya politik berasaskan keagamaan menjadi-jadi di Malaysia dan meresap ke dalam dasar-dasar negara selain membentuk kandungan media massa.

Wacana isu hudud yang berlarutan sehingga hari ini memberi kesan negatif kepada hubungan antara agama dan kaum. Bukan sahaja antara agama dan kaum tetapi sesama golongan Muslim dan Melayu. Tambah lagi, sentimen-sentimen yang terlahir daripada pendebatan isu hudud juga tempias kepada pelbagai isu lain dan mengeruhkan lagi keadaan.

Meskipun masyarakat merasai kesannya namun dengan banyak isu lain yang menyelubungi politik dan pentadbiran negara, sengketa agenda hudud tidak diberi keutamaan sebagai sesuatu yang perlu diselesaikan segera. Sebaliknya hudud terus berlegar dalam wacana negara dan pendukungnya, PAS, masih diberi muka. Bahkan penglibatan parti itu dalam pergerakan-pergerakan massa juga dipinta dan dialu-alukan.

Menjelang pilihanraya ke-12 pada tahun 2008 agenda hudud PAS disorokkan sekali lagi dan slogan menentang kepimpinan UMNO dan BN yang rakus terus digunakan untuk meraih sokongan pengundi. Akhirnya BN kalah teruk apabila “tsunami politik” membawa kejayaan luar biasa kepada blok pembangkang yang merangkumi PAS. Secara langsung undi rakyat memberi PAS kuasa dan pengaruh yang amat besar.

Berbeza daripada dahulu, pilihanraya 2008 dan seterusnya pada 2013 melihat PAS mendapat mandat daripada ramai pengundi bukan Muslim atau Melayu. Sokongan diberi atas prinsip parti itu mewakili blok pembangkang dan keinginan pengundi melihat perubahan pemerintahan di peringkat persekutuan. Tetapi sepertimana yang diketahui pakatan PAS bersama PKR dan DAP itu telahpun terlerai tahun lalu.

Namun dengan kerusi-kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang diperoleh melalui pakatan tersebut PAS tetap berkuasa. Malah boleh dikatakan PAS sebenarnya lebih berkuasa sekarang kerana dalam posisi ini PAS menjadi penentu nasib UMNO dan BN serta seluruh blok pembangkang dalam pilihanraya yang akan datang. Lihat saja senario di Selangor.

Dengan kuasa itu juga pintu kepada perlaksanaan hudud yang selama ini terkunci telah dibuka melalui usul tajaan Presiden PAS untuk meminda Akta 355. Mei lalu Speaker Dewan Rakyat, atas cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, secara mengejut membenarkan usul tersebut untuk dibentang. Dilaporkan itulah pertama kali usul berkaitan hudud dibenarkan untuk dibentang di Parlimen.

Presiden PAS telah memohon agar pembentangan usul ditunda dan sehingga hari ini usul itu masih menunggu giliran dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat. Situasi ini menimbulkan polemik dan kegelisahan di kalangan masyarakat.

Tindakan Presiden PAS mengemukakan usul tersebut sebenarnya tidak mengejutkan kerana partinya sekian lama mahukan perlaksanaan hudud. Yang menghalang agenda hudud PAS selama ini adalah Perdana Menteri dan kerajaan lalu serta sekutu-sekutu PAS sendiri. Apa yang membimbangkan dewasa ini adalah bayangan sokongan yang diberi oleh parti tunjang kerajaan iaitu UMNO serta respon parti-parti majoriti Melayu yang lain.

Dalam suasana pra-pilihanraya yang tidak menentu masing-masing tidak mahu berkonfrontasi dengan PAS. Maka tiada satupun yang berani menentang inisiatif Presiden PAS itu secara tulus atas dasar usul yang dicadang melanggar Perlembagaan negara selain meningkatkan keresahan masyarakat. Yang berani menentang hanya parti-parti majoriti bukan Melayu, parti-parti Sarawak dan Sabah serta para aktivis hak asasi manusia.

Secara amnya parti-parti majoriti Melayu hari ini hanya sanggup mengambil pendirian Malaysia “belum bersedia” untuk perlaksanaan hudud lantas membiarkan pintu hudud terbuka sebagai insentif kepada PAS untuk membentuk kesepakatan politik. Walhal Perlembagaan Malaysia jelas tentang perkara ini dan negara sudahpun ada undang-undang untuk mengatasi kes-kes jenayah.

Hakikatnya angkara kita hudud di Parlimen. Pengundi yang memberi PAS kuasa di sana dan kini kuasa itu dijadikan modal politik untuk PAS bertawar-menawar dengan parti-parti lain. Laratkah masyarakat terus mendengar ahli-ahli politik berdolak-dalik tentang isu hudud? Tidak serikkah kian tahun isu hudud ini merosakkan hubungan sesama kita di Malaysia?

Janganlah diremehkan lagi isu hudud sekadar helah politik semata-mata kerana kesannya terhadap masyarakat amat mendalam. Dan tidak perlulah mendebatkan lagi aspek teknikal penggubalan usul PAS kerana ia tidak membawa apa-apa perubahan selain untuk memalukan Presiden parti itu. Lagipun kalau bukan dia yang membawa usul, wakil rakyat lain akan mengusulkan pada masa hadapan selagi agenda hudud ini dibiarkan berlanjutan.

Tidak kiralah kecenderungan politik masing-masing tetapi tuntutlah kepada parti-parti kesayangan yang kini sedang sebok memikat PAS dalam persediaan pilihanraya agar isu hudud dihentikan. Tuntut agar usul pindaan Akta 355 yang membolehkan perlaksanaan hudud itu ditarik balik. Tuntut agar agenda hudud disingkir terus daripada politik tanahair.

Usahlah isu ini terus dibiarkan dan mengeruhkan lagi keadaan di Malaysia.

Diterbit di Astro Awani

Comments 6

  1. Saya berpendapat saudari perlu juga menulis berkenaan undang-undang munakahat yang diamalkan di Malaysia. Mengapa ia diterima sedangkan hukum seperti hudud pula ditolak walhal keduanya datang daripada sumber yang sama iaitu Al-Quran. Saudari perlu jelas tentang sebab menolak sesuatu perkara, apa garisan yang digunakan untuk membezakan keduanya.

    Berdasarkan artikel, saya lihat sebab ruu355 ditolak ialah kerana:
    – Masyarakat turut terlibat dengan akta yg digubal. Saudari tidak perlu risau sekiranya tidak membuat apa-apa kesalahan jenayah maka tidak akan dihukum, sama seperti sekarang. Sekarang juga saudari tidak mengambil arak, berzina, atau sebagainya, dgn akta sekarang saudari tidak akan dihukum. Jadi mengapa takut apabila akta ini dinaiktaraf sedikit?

    – Mengganggu keharmonian masyarakat.
    Sentimen kaum banyak dimainkan oleh media massa. Berdasarkan tulisan saudari, saya melihat ianya banyak diambil dari media, sedangkan media menginginkan kita berfikir seperti yang mereka inginkan. Ada banyak isu lain seperti peluang pendidikan & pekerjaan namun terabai, sebabnya; isu ini tidak disebut dalam media. 🙂 Adalah lebih baik untuk berjumpa terus dengan sesorang untuk mendapat penjelasan. Kita ada Youtube, serta web-web yang mempunyai maklumat daripada first-person. Jangan sempitkan sumber, kerana saudari seorang penulis. 🙂

    Kesimpulannya, saya tidak bertemu dengan garis tetap dalam artikel saudari yang membolehkan kita menerima atau menolak sesuatu perkara.

    Cadangan saya saudari boleh cari garis tetap tersebut & sekiranya jumpa boleh diperjelas kepada pembaca.

    Wallahua’lam. Terima kasih kerana sudi membaca.

    1. Post
      Author

      Salam, Ainul. Terima kasih sudi berkongsi pendapat.

      1) Saya menulis dengan fokus. Kalau segala undang-undang dan sumber hendak dihuraikan di sini maka berjela dan merapu jadinya. Isu yang dihujahkan di sini khusus berkenaan cadangan pindaan RUU355, niat politik disebaliknya, dan perjalanannya setakat masa nukilan ini diterbit.

      Kalau saudari rasa penulisan saya sekadar seseorang biasa yang ulasannya pincang dan tak penting, jemput baca rencana yang ditulis Bekas Ketua Hakim Negara berkenaan cadangan RUU355 dan muslihat PAS disebaliknya:
      http://www.utusan.com.my/rencana/pindaan-akta-355-kesan-sebenar-1.391624

      2) Saya memetik sumber media massa kerana itu sumber rasmi yang paling senang diakses pembaca. Untuk pengetahuan saudari, media massa di Malaysia secara umumnya konservatif dan tidak pun begitu kritis. Propaganda pro-pindaan RUU355 mendominasi media massa jadi hujah saudari bahawa saya terpengaruh dengan media massa dalam hal ini agak lemah.

      3) Saya setuju bahawa “lived realities” amat penting. Dan kalau saya petik sumber-sumber “first-person” dalam hujah saya (kes-kes sebenar dan bukan sekadar layaran sumber-sumber di YouTube yang tak dapat saya sahkan sumbernya), kemungkinan besar saya akan dituduh memilih bulu. Maka saya rujuk sumber media untuk kenyataan/tindakan rasmi termasuk Harakah sendiri, iaitu mulut parti pencadang.

      4) Saya tak pasti apa rasional dan matematik yang saudari gunapakai mengatakan kenaikan hukuman maksima daripada 3 tahun penjara/denda RM5,000/sebat 6 kali kepada 30 tahun penjara/denda RM100,000/sebat 100 kali hanya “dinaiktaraf sedikit”. Jauh jurangnya tu …

      5) Saudari juga kata kalau tak bersalah tak perlu takut. Ni saya kongsikan 1 kes manusia “tidak membuat apa-apa kesalahan” yang menjadi mangsa proses penguatkuasaan undang-undang syari’ah di Malaysia. Ni baru 1 kes:
      https://www.malaysiakini.com/news/372786?utm_source=dlvr.it&utm_medium=twitter

      Kalau proses perlaksanaan “keadilan” pun tercemar dengan salahguna kuasa, nak “dinaiktarafkan sedikit” hukumannya?

  2. Terimakasih Juana Jaafar diatas hujah2 yang kemas dan bernas mengenai isu RUU 355 yang amat menjengkelkan itu.

    1. Post
      Author

      Terima kasih kerana sudi membaca. Ya, usul pindaan Akta 355 untuk melaksanakan hudud dibuat secara menyelinap. Ia juga satu pecah amanah kepada pengundi berbilang agama dan kaum (termasuk Muslim dan Melayu) yang mengundi PAS dulu atas dasar PAS pada masa tu salah satu parti komponen Pakatan Rakyat dan bukan kerana mahukan perlaksanaan hudud.

  3. 1st of all, congrats sbb artikel murahan ni dipilih oleh astro awani.
    Terlalu byk salah faham dlm artikel jahil ni. Lgi 1, dah tau itu media Pas, cari lah sumber yg lain. Agak ironi bgi seorg so-called liberal yg rajin menulis tpi malas membaca. Pernah tak puan cari maklumat/knowledge psl isu RUU 355 dari perspektif undang-undang?? Dah terlalu byk ditulis oleh pakar akademik/mufti dlm bentuk artikel, buku, penjelasan umum, etc.. tpi cherry picking yg dibuatnya. Amat kecewa dgn org yg tak merelakan dirinya utk mencari kebenaran hakiki.

    Saya quote dri link di atas:
    “secara tidak langsung ia akan membuka jalan untuk memudahkan penguatkuasaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (Pindaan 2015) atau lebih dikenali dengan Undang-Undang Hudud.”
    Saya lihat ayat ni lbih kpd overconfident/terlampau optimis, sbb if u read from perspektif undang-2, mmg definitely BUKAN semudah tu, malah tiada kaitan pun. Rajinlah membaca dri sumber yg berbeza instead of coming with kenyataan-2 jahil.

    I’m amazed when u hoped to ‘tamatkan isu hudud sbb ia menganggu hubungan kaum di Malaysia. Dah la keliru, lpstu truskan menullis bnde yg salah. Tujuan RUU adalah utk memperkukuhkan mahkamah syariah, tpi dilabel sbgai menganggu pehubungan kaum? Oh, sejak bila hak kaum itu lbih tggi dri hak memartabatkan islam? Ketegangan perhubungan kaum tu sndiri tak lain hanyalah datang drpd golongan yg nak semarakkan kebencian terhadap islam (and we know who is behind that). Sedih bila org remehkan hukum tuhan sbb kononnya “mengganggu keharmonian”. Tak faham isu satu hal, tak faham konsep agama pun satu hal.

    Byk lgi isu yg keruhkan keadaan di Malaysia, tpi hukum islam yg dipilihnya?? hahahha, bias sgt. My advice to u is please educate yourself first on an issue before starting to write about it, because I’m afraid u will just make yourself look dumb.

    Saya bukanlah penyokong pas/pkr/dap mahupun Umno, tpi saya menyokong segala usaha utk memartabatkan/mengukuhkan islam/institusi islam di Malaysia, hatta jika ia datang dri non muslim sekalipun.

    1. Post
      Author

      Alhamdullillah, terima kasih. Saya juga bersyukur masih lagi ada ruang untuk kepelbagaian pendapat dalam media arus perdana.

      Saya agak bosan dengan golongan yang menggunakan serangan perdibadi sebagai perisai untuk hujah mereka, dan lebih bosan lagi dengan mereka yang nak komen tapi komen yang diberi macam mereka tak bacapun penulisan yang dibencikan sangat tu.

      Namun saya akan respon beberapa perkara:

      1. Saya takkan tulis artikel ni kalau belum baca apapun penulisan daripada aspek perundangan. Tak tahulah kalau artikel panjang di atas dengan kronologi sejarah dan sebagainya kurang jelas ke apa, tapi ini bukan isu yang baru timbul tahun lepas bila Hadi Awang bawa usul ke Parlimen. Banyak penulisan dah diterbit dan pendapat di luar sana pun pelbagai. Saya pun dah lama mengikuti wacana isu ini.

      2. Pendapat tentang sistem keadlian dan perundangan negara bukan monopoli golongan peguam, agamawan, ahli politik, akademik atau orang seperti saudara saja. Bila undang-undang digubal/dipinda untuk dilaksanakan, seruluh masyarakat terkesan. Maka setiap rakyat mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mereka kerana ia berkenaan mereka, termasuk saya sekali.

      3. Memandangkan saudara rajin klik pautan dalam penulisan di atas maka saudara pun tahu sumber-sumber yang dipautkan bukan media PAS saja tetapi pelbagai. Petikan yang saudara lampirkan di atas memanglah daripada Harakah. Terang-terang saya sebut nak rujuk media PAS sendiri yang terbit penulisan macam tu. Kalau saudara tak setuju dengan penulis tersebut, dipersilakan sampaikan komen kepada tuan punya pena.

      4. Tentu sekali isu hudud yang dah berlarutan ini memecah-belahkan masyarakat. Hanya mereka yang hidup dalam kalangan jenis sendiri, sesama mereka yang sependapat saja tak perasan hakikat dunia sebenar. Saudara dijemput buat penyelidikan berita dan komentar dalam media sejak usul Hadi Awang dibawa ke Parlimen tahun lalu. Kalau rajin, rujuklah sehingga 10 tahun lalu. Kalau sangat rajin, rujuk terus sehingga tahun-tahun pra-Reformasi.

      5. Islam bermartabat. Manusia taksub saja yang menganggap Islam tak bermartabat melainkan manusia itu memartabatkannya.

      ————————————————–

      Kepada para pembaca yang lain, sebagai pemberitahuan selepas ini saya hanya akan menerbit komen yang merujuk kepada penulisan saya dengan tepat dan tidak cuba memutar-belitkan apa yang sudah diperjelaskan atau cuba menokok-tambah apa yang saya tak tulis. Tambah lagi, saya tidak akan menjawab apa-apa yang saya rasa sudah jelas dibentangkan.

      Terima kasih.

Share your comment