Ahli politik, jangan buang masa kami


Selesai sudah Wacana Sinar bertajuk ‘Kuasa Undi Wanita’ yang mengetengahkan suara empat ahli politik perempuan muda yang bertaraf pemimpin nasional dalam parti masing-masing. Mereka adalah Mas Ermieyati Samsudin, Ketua Puteri UMNO serta timbalan menteri dan ahli parlimen; Siti Aishah Shaik Ismail, Ketua Srikandi PKR dan juga seorang senator; Husna Hashim, Pengarah Ameerah iaitu unit muslimah muda PAS; dan Young Syefura Othman, Penolong Setiausaha Wanita DAP.

Jarang sekali diadakan forum terbuka tentang kuasa undi perempuan, dan lebih jarang lagi diskusi itu berkualiti dan membuka minda. Malangnya, wacana bersama empat tokoh politik baru-baru ini juga sekadar membuang masa para penonton.

 

Peluang keemasan yang diberi kepada panelis untuk membuktikan bakat dan intelektual perempuan muda dalam politik disia-siakan apabila pentas dijadikan umpama pentas ceramah biasa sahaja. Masing-masing mengamal cara politik lapok di mana setiap peluang bercakap dibazirkan dengan hujah mengangkat bakul parti sendiri dan mengutuk parti lawan. Soalan-soalan bernas yang diketengahkan melayang begitu sahaja. Malah boleh dikatakan kualiti soalan lebih tinggi daripada respon yang diberi. Ini amat memalukan memandangkan setiap ahli panel adalah pemimpin di peringkat nasional.

Untuk makluman ahli-ahli politik, masyarakat Malaysia sangat terdedah kepada hujah-hujah politik sama ada melalui media atau media sosial. Masyarakat sudah lebih daripada tepu dengan kutuk-mengutuk dan deklarasi syok sendiri oleh ahli-ahli politik setiap hari. Tolong jangan buang masa kami dengan membawa hujah harian ke majlis perbincangan khas yang sepatutnya fokus kepada topik. Di samping itu, sedar dan hormati bahawa bukan semua yang meluangkan masa untuk hadir dan mendengar terdiri daripada skuad tepuk tangan parti politik.

 

Dikatakan golongan perempuan dan anak muda merangkumi majoriti pengundi dalam pilihanraya akan datang. Namun topik ‘Kuasa Undi Wanita,’ iaitu pengaruh besar dalam keputusan pilihanraya kelak, gagal dikupas secara mendalam kerana terlalu banyak masa dihabiskan untuk komentar tentang keterlibatan perempuan dalam parti politik. Berkenaan itu juga panelis gagal mengupas isu sebenar iaitu patriarki dan struktur parti yang menghalang perempuan daripada penyertaan dan kepimpinan yang betul-betul bermakna.

Ini isu kuasa dan sikap tak hormat terhadap perempuan. Lihat saja bagaimana forum dengan barisan pemimpin nasional itu ditangguh secara tiba-tiba bagi memberi laluan kepada seorang lelaki “VIP” mengumumkan tabung derma untuk golongan Rohingya. Sama ada dia lambat hadir atau tak kuasa hendak mendengar hujah perempuan sampai habis dan mahu cepat beredar, maka masa diberikan kepadanya untuk berucap di tengah-tengah program. Macamlah pengumuman tak boleh dibuat oleh pengacara pada akhir forum. Ini satu contoh paling baik menunjukkan nilai suara perempuan dalam perbincangan politik. Pernahkah kita melihat forum yang melibatkan pemimpin nasional lelaki, termasuk timbalan menteri dan senator, diganggu untuk pengumuman tabung derma?

Tapi ahli-ahli panel tak sedar (atau mungkin tak faham) konsep dinamika kuasa ini lalu sanggup menerima apapun layanan yang diberi. Dalam hujah mereka tentang parti masing-masing tak sekalipun dominasi kuasa lelaki dipersoal secara langsung, malah panelis dilihat bersyukur dengan seciput kuasa yang diberikan kepada mereka. Menurut Young Syefura perempuan perlu mengambil kesempatan dan membuktikan kemampuan mereka agar berjaya dalam politik. Tapi umum kita tahu bahawa ramai lelaki yang tak berwibawa diberi peluang memegang jawatan dalam parti—termasuk parti DAP—bahkan diperuntukkan kerusi dalam pilihanraya. Tak diperjelaskan mengapa kelayakan perempuan diukur dengan merit tapi tak pula bagi lelaki.

Mas Ermieyati mengatakan perempuan dalam politik perlu pandai dalam seni perundingan. Beliau juga dengan bersungguh-sungguh mengingatkan bahawa Wanita dan Puteri UMNO gigih menuntut kuota 30 peratus bagi ahli-ahlinya. Soalnya sekarang berapa pilihanraya sudah berlalu dan tuntutan itu masih tak dipedulikan kepimpinan UMNO yang majoritinya lelaki? Adakah ini bermaksud pemimpin-pemimpin sayap perempuan dalam UMNO tak pandai berunding?

Siti Aishah, yang secara keseluruhan lebih matang hujahnya, mengingatkan bahawa PKR parti paling mengutamakan perempuan dalam politik. PKR satu-satunya yang menjamin penyertaan perempuan dalam perlembagaan parti. Namun begitu, Ketua Wanita PKR sendiri mengeluh kerana partinya masih tak memberi ruang secukupnya kepada golongan perempuan untuk bersuara dan penyertaan perempuan di pelbagai peringkat parti juga masih belum mencapai 30 peratus.

Penonton diingatkan bahawa PKR dipimpin oleh seorang presiden perempuan yang juga ketua pembangkang di Parlimen. Presiden PKR juga selaku presiden gabungan Pakatan Harapan. Kepimpinan simbolik ini sebenarnya tak perlulah diulas lagi selepas temubual Al Jazeera beberapa bulan lalu yang amat menghampakan golongan perempuan.

Jadi begini: Cukuplah ahli-ahli politik membuang masa kami dengan memegah-megahkan parti masing-masing kerana sudah jelas di mata masyarakat bahawa janji untuk memperkasakan perempuan, khususnya perempuan muda, tak tercapai mahupun dalam parti sendiri.

Lebih mengecewakan lagi, golongan perempuan dihina oleh pemimpin tertinggi parti. Contohnya baru-baru ini apabila boss besar Barisan Nasional menggunakan pindaan Akta Membaharui Undang- Undang (Perkahwinan dan Penceraian) sebagai tebusan untuk cuba meraih sokongan pengundi perempuan.

Pakatan Harapan pula dilihat menolak kepimpinan perempuan apabila hanya seorang sahaja dilantik sebagai ahli Majlis Presiden dan 11 yang lain adalah lelaki. Dalam barisan 12 wakil parti-parti Pakatan Harapan pula, hanya dua orang wakil perempuan. Dan bagi wakil di peringkat negeri, hanya Sabah sahaja diketuai perempuan.

Dalam realiti yang menghampakan ini, mungkin lebih baik jika perempuan muda sekurang-kurangnya dilihat menyuarakan secara jujur dan terbuka masalah struktur kuasa dalam parti masing-masing. Tunjukkan di mana ahli politik perempuan menggariskan had kepada kepimpinan parti. Takkanlah forever pasrah dan akur dengan “budi bicara” kepimpinan yang tak menghiraukan tuntutan perempuan. Tambah lagi, lantanglah bersuara apabila ahli dan penyokong parti berlaku rasis, seksis atau trans/homofobik contohnya. Masyarakat tahu ahli politik perempuan tak ada masalah mengutuk parti lawan dalam hal ini. Yang hendak dilihat adalah ahli politik perempuan berani bersuara apabila si pelaku dalam kalangan parti sendiri.

Di samping itu, sahut panggilan masyarakat yang ingin tahu pendirian perempuan muda tentang isu-isu nasional dan bukan sahaja “isu perempuan” atau konflik kepartian. Kalau hendak menggembleng kuasa undi perempuan, hormatilah akal fikiran kami.


Penulisan ini tak mengupas hujah Husna Hashim yang lebih suka meleter dan bertazkirah.

Share your comment