2

Al-kisah panjang LGBT dan triniti di Shah Alam

Imej khas: Kad tarot hasil seni Siolo Thompson. Pix oleh Juana Jaafar.


‘Bual bicara: Jalan ke syurga.’ Itulah nama program bersiri anjuran kerajaan Selangor di bawah kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Tabung Amanah Pembangunan Islam Selangor (TAPIS). Menurut Penolong Pengarah Unit Ukhuwah JAIS, program itu berkonsepkan “dakwah santai atau ‘street dakwah’” yang di adakan di tempat awam.

Walaupun bagai borak-borak biasa, namun agendanya teliti. Dan seperti kebanyakan program dakwah massa yang lain di Malaysia, tujuannya bukan untuk mencabar minda tapi sebagai saluran preskripsi bagi pihak pengawas agama. Format program juga agak sama dengan program-program yang serupanya di televisyen, iaitu perbualan antara individu-individu terpilih dan bukan bicara interaktif bersama penonton.

Beberapa minggu lalu saya terpanggil untuk menghadirkan diri di salah satu edisi program bertajuk ‘Hijrah LGBT: Ke jalanMu daku kembali’ yang diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Penggunaan istilah “hijrah” dalam konteks ini merujuk kepada individu-individu LGBT (lesbian, gay, biseksual, transgender) yang mula hidup sebagai individu heteroseksual (straight) atau jantina yang didaftarkan ketika dilahirkan.

Apabila perkataan “hijrah” digunakan seperti tajuk topik di atas, ia menggambarkan sesuatu yang diraikan tapi maksud yang tersirat adalah penolakan dan pengasingan golongan LGBT secara menyeluruh. Ia umpama sentimen kebencian (anti) yang disalut dengan ungkapan positif yang lembut dan berkasih. Implikasi kebencian ini luas dan merangkumi pelbagai aspek kehidupan golongan terpinggir LGBT di Malaysia termasuk kesihatan mental dan rohani, hubungan dengan keluarga dan komuniti, hak keselamatan, peluang pekerjaan, penglibatan dalam aktiviti keagamaan dan sebagainya.

Selama 31 tahun bermastautin di Shah Alam, tak pernah saya terdengar tentang program anti-LGBT seperti ini apatah lagi yang dianjur oleh kerajaan negeri dan di adakan pula di sebuah lapangan awam. Jadi saya terkejut dan berasa amat sedih sekali apabila ternampak poster promosi program di internet. Saya juga berasa sangat marah terhadap kerajaan Selangor sebagai penganjur dan Majlis Perbandaran Shah Alam yang menaja tempat lokasi. Ia seolah-olah politik kebencian dan momokan yang mendominasi naratif politik negara akhirnya dibawa ke pintu pagar saya.

Triniti politik, dakwah dan kuasa

Pertama kali isu seksualiti menjadi kenderaan politik di Malaysia adalah dalam kes liwat yang melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, pada tahun 1998. Anwar yang dikatakan terlalu berpengaruh dan mencabar status quo kuasa pada masa itu dipecat daripada parti dan kerajaan atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan liwat. Maka bermulalah pergerakan Reformasi dan bab baru dalam politik negara. Anwar dipenjarakan dan dibebaskan pada 2004 tapi isu liwat yang membabitkan dirinya menggegar politik negara sekali lagi pada 2008, iaitu pada tahun pilihanraya yang paling sengit dalam sejarah Malaysia.

Kalau pengaruh politik mengarah media arus perdana menumpu kepada seksualiti Anwar seorang dalam kes liwat pertama, kes kedua pula melihat media kemudian menyuluh perhatian kepada seluruh golongan LGBT. Sejak kes liwat kedua—yang mana Anwar dalam kedudukan sebagai ketua gerakan parti pembangkang—golongan LGBT dijadikan antara kenderaan pilihan untuk menetapkan semula garisan politik dalam era pasca-pilihanraya 2008.

Pilihanraya 2008 melihat politik etnik yang membentuk politik negara selama berdekad mula luntur apabila pengundi berani memilih mengikut corak baru. Keputusan pilihanraya yang mengejutkan melihat beberapa negeri di Semenanjung Malaysia buat pertama kali bertukar kerajaan dan negeri-negeri di Borneo pula mula menuntut autonomi daripada parti-parti yang berpusat di seberang laut. Psikologi politik di Malaysia berganjak secara drastik pada tahun itu.  

Hampir 10 tahun sejak pilihanraya 2008, kelihatan bagaimana garisan politik cuba disusun semula. Arus perubahan yang tercetus pada tahun itu dihadapkan dengan sejenis kempen “pemeliharaan” untuk mencapai perpecahan etnik yang rapi, khususnya untuk mengkonsolidasikan sokongan politik orang Melayu yang telah memencar pelbagai haluan. Laungan solidariti etnik sahaja tak lagi memadai untuk memenangi hati orang Melayu lantas konsep penyatuan ummah pula diguna pakai dengan cara keras; atau dalam istilah industri pengiklanan dipanggil hard sell.

Agama Islam dijadikan lencana utama untuk membezakan antara “kita” dan “mereka,” termasuk dalam kalangan masyarakat Muslim sendiri dengan hanya satu jenama Islam yang diterima pakai, iaitu yang ditetapkan oleh penggerak kempen ini. Natijahnya, budaya takfiri atau saling mengkafir sesama Muslim juga membuak-buak di Malaysia. Ketegangan antara agama, etnik dan sesama Muslim yang wujud hari ini bukan sekadar kesan malah matlamat bagi kempen ini. 

Mana-mana kempen pemeliharaan yang berkesan memerlukan elemen kontra sama ada dalam bentuk risiko atau ancaman. Kalau kempen disasar kepada orang Melayu-Muslim maka perlu ada risiko atau ancaman yang perlu dihadapkan kepada golongan ini. Tujuannya agar mereka berasa survival mereka tergugat lalu bertindak menyahut seruan kempen untuk menolak serta menyahkan segala punca risiko dan ancaman.

Strategi kempen pemeliharaan ini umumnya menanam risau. Contohnya, kalau orang Melayu-Muslim tak bersatu menghadapi ancaman maka ekonomi mereka akan dirampas, identiti mereka akan pudar, maruah mereka akan tercabul, negara mereka akan dijajah, dan paling penting sekali dalam konteks ini, agama mereka akan lesap. Sejak pilihanraya 2008, pelbagai konsep yang dilontar sebagai ancaman kepada orang Melayu-Muslim: Kristianisasi, golongan etnik Cina, agenda Yahudi, feminisme, hak asasi manusia, pluralisme, golongan LGBT dan sebagainya. Kadang-kadang ditangkap muat kesemuanya dan dilabel sebagai “liberalisme.”

Orang Melayu-Muslim diberi gambaran bahawa ancaman terhadap mereka bermacam-macam dan menyerang dari pelbagai arah. Tapi perisainya hanya satu, yakni pihak penyelamat yang juga petualang kempen pemeliharaan ini.

Petualang yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan parti-parti politik Melayu yang pengaruhnya terkesan sejak pilihanraya 2008. Khususnya, UMNO (yang dibelengu pelbagai skandal korupsi dan masalah dalaman) dan akhir-akhir ini dengan gabungan sekutu tak rasmi mereka iaitu PAS (yang juga dibelengu masalah dalaman ekoran meninggalkan Pakatan Rakyat yang dahulu membawa banyak keuntungan kepada parti).

Kempen pemeliharaan ini diperhebatkan melalui sokongan jaringan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang dipengaruhi parti-parti tersebut. Lebih penting lagi adalah organisasi dan institusi dakwah di bawah kuasa mereka. Masyarakat umumnya tahu bahawa politik adalah kotor maka seruan langsung daripada parti dan ahli politik ada hadnya dari segi penerimaan. Tapi melalui saluran dakwah dan mulut individu-individu yang dianggap sebagai agamawan, penerimaan orang Melayu-Muslim lebih terbuka atas kebergantungan mereka kepada “pakar” dalam isu-isu berkaitan agama.

Justeru wujudnya triniti antara parti politik, jaringan institusi dakwah dan kuasa memerintah.

Parti-parti politik yang menubuhkan kerajaan memegang kuasa yang amat besar. Mereka mempunyai kuasa ke atas dana rakyat dan kata putus dalam pengagihannya. Mereka juga mempunyai kuasa mempengaruhi agenda dakwah di negeri masing-masing.

Ini yang dilihat berlaku di peringkat persekutuan dan negeri di mana UMNO dan PAS mengguna kedudukan rasmi dalam kerajaan serta dana rakyat untuk mendokong agenda “pemeliharaan” yang disebutkan tadi. Ia termasuk pendekatan keras memomokkan golongan LGBT seolah-olah golongan terpinggir ini satu gejala kuasa asing yang ingin menjadikan setiap orang di Malaysia gay. Ini perkara yang mustahil, mengarut dan memperbodohkan orang Melayu dan Muslim. Tapi ia amat berguna dalam usaha mengkonsolidasi sokongan orang Melayu-Muslim selain sebagai tempelak tak langsung kepada ketua gerakan parti pembangkang.

Sebuah ‘Pelan Tindakan Menangani Gejala Sosial Perlakuan LGBT’ diterajui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu agensi agama Islam yang utama di bawah kuasa kerajaan persekutuan. Pelan disalurkan pula kepada pelbagai “rakan strategik” termasuk agensi kerajaan negeri. Pelan ini juga kini didokong oleh PAS yang mengatur gerak kerja melalui jaringan pendakwah parti.  

Adegan pelik Sang Triniti

Pada malam barisan kepimpinan Selangor sebok menayang gah di perhimpunan perikatan baru Pakatan Harapan di Petaling Jaya, saya dan seorang teman menghadiri program dakwah ‘Bual bicara: Jalan ke syurga’ di Shah Alam anjuran JAIS dan beberapa agensi kerajaan Selangor yang lain.

Poster promosi program ‘Bual bicara: Jalan ke syurga’ yang dikongsi melalui internet.


Seperti yang dijanjikan dalam poster promosi, program menonjolkan Izwan Yusof daripada agensi persekutuan JAKIM, bekas transgender yang bergelar Cikgu Erin serta Mohd Azlan Jaafar daripada JAIS sebagai moderator. Dan sepertimana juga terpapar dalam poster tersebut, program disokong kerajaan Selangor melalui Exco Hal Ehwal Agama Islam daripada parti PAS.

Suasana di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada malam itu seperti malam minggu lain dengan ramai pengunjung yang sedang beriadah, penjaja makanan dan mainan yang sebok melayan pelanggan dan kanak-kanak yang riang bermain. Tak cocok dalam suasana ini adalah pentas dakwah program ‘Bual bicara: Jalan ke syurga’ dengan pembesar suaranya yang kuat kedengaran di seluruh padang.

Program terbahagi kepada tiga segmen dan diselitkan dengan “acara-acara ringan.” Perbualan pada mulanya cuba mendalami sejarah kehidupan Cikgu Erin sebagai seorang transgender perempuan dan kisah “penghijrahannya” kepada lelaki cisgender. Banyak yang dikongsikan Cikgu Erin tentang sejarahnya menggunakan pil hormon dan pengalamannya dibelenggu kesunyian dan kemurungan.

Saya sendiri berasa sedih mendengar kisah Cikgu Erin yang tak banyak beza dengan pengalaman individu LGBT lain. Ada yang dibuang daripada keluarga, diburu pihak berkuasa dan rata-rata dicaci di media. Tak kurang juga tekanan bagi mereka yang terpaksa menyembunyikan seksualiti serta identiti sebenar dan hidup berpura-pura demi keselamatan diri atau menjaga hati (dan muka) orang-orang yang dikasihi. Mungkin lebih perit bagi mereka yang tak serasi dengan biologi tubuh sendiri, seperti Cikgu Erin suatu masa dahulu. Mustahil tak dilema, tak terasing atau tak murung kehidupan LGBT di Malaysia.

Saya juga simpati apabila Cikgu Erin menceritakan tentang muridnya yang bertanyakan kenapa dia tak menyimpan misai atau janggut (sebagai simbol maskuliniti) setelah “kembali” menjadi lelaki cisgender. Tapi Cikgu Erin tak terjawab mahupun dalam penceritaannya sendiri. Ada beberapa lagi persoalan tentang dirinya yang tak terjawab dan hanya dibalas dengan kenyataan “Saya anggap ini sebagai dugaan.” Sedih sekali kerana seolah-olah jiwanya masih belum settle walaupun telah “berhijrah.” Tapi saya juga berasa jengkel melihat Cikgu Erin di atas pentas JAIS kerana dia tahu keperitan kehidupan golongan LGBT di Malaysia namun merelakan diri dieksploitasi sebagai mulut dan bahan pameran sebuah institusi yang menindas golongan ini.

Belum sempat merenung lanjut tentang hal itu tiba-tiba “acara ringan” bermula dengan kemunculan beberapa orang badut (literal) untuk mengagihkan cupcakes kepada orang ramai. Keadaan bertambah pelik apabila jurucakap dengan bangganya mengumumkan bahawa para badut adalah anggota JAIS sendiri. Bulu roma saya meremang. Program yang pelik telah mencapai tahap hardcore. Badut-badut kemudian membentuk haiwan menggunakan belon.

Saya terfikir bagaimana licik strategi penganjur memilih lokasi di lapangan awam pada malam minggu yang tersedia dengan ramai pengunjung. Mereka yang datang untuk beriadah tak akan terlepas (atau dapat melepaskan diri) daripada mendengar program dakwah itu kerana pembesar suara dipacak dan dipasang kuat. Program disertakan lagi dengan acara badut yang pastinya menguja kanak-kanak.

Orang ramai juga disuap dengan cupcakes percuma dan hadiah hamper diberikan kepada mereka yang berjaya dalam kuiz tentang LGBT. “Apa itu L-G-B-T?” ditanyakan kepada kanak-kanak yang dinafikan pendidikan seks dan seksualiti di sekolah. Ulangi saja apa yang didengar di pentas walaupun tak tahu maksudnya. Sesiapa yang terlepas memenangi hadiah hamper masih berpeluang jika terus mengikuti program sehingga segmen seterusnya. Ibu bapa juga digesa jangan pulang kerana hadiah istimewa berbentuk kolam renang plastik mungkin bakal dimenangi anak mereka di penghujung program.

Dalam dunia politik, pemberian seperti ini dipanggil ‘rasuah.’ Dalam kicauan di media sosial, ia dipanggil ‘dedak.’ Tapi oleh kerana ini program dakwah maka ia sekadar ‘insentif.’ Satu persoalan berlegar di minda saat kemunculan para badut tadi: JAIS pakai duit siapa untuk buat benda-benda ni?

Suara Cikgu Erin berkumandang di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dalam nada falsetto lalu bermulalah persembahan nyanyian dan pantomim yang diarah oleh Cikgu Erin sendiri. Walaupun pantomim arahannya langsung tak berkait dengan LGBT, jiwa superstar Cikgu Erin terserlah dalam persembahan yang penuh emosi itu. Mungkin itulah hikmah disebalik kerjasamanya dengan institusi dakwah seperti JAIS. Tak perlu diuji bakat, promosi dibereskan penganjur dan pentas diberi percuma asalkan propaganda anti-LGBT disampaikan dari mulut bekas transgender sendiri. Quid pro quo.

Suntingan video persembahan nyanyian Cikgu Erin dan pantomim oleh murid-murid dari sebuah sekolah rendah kebangsaan di Shah Alam.


Menarik sekali dinamik antara institusi dakwah dan Cikgu Erin. Adakah JAIS atau institusi dakwah yang lain mengalu-alukan sesiapa saja yang hendak berlenggang di atas pentas dan membenarkan mereka menyanyikan balada dihadapan para ustaz? Atau adakah peluang ini hanya terbuka kepada mereka yang boleh dieksploitasi untuk tujuan propaganda?

Rasanya kalau bukan kerana sanggup dipamerkan di mana-mana sebagai “bukti” bahawa golongan LGBT boleh “dipulihkan,” nasib Cikgu Erin mungkin berbeza. Sebagai warga biasa tanpa layanan istimewa, kemungkinan besar Cikgu Erin dilihat sekadar “lelaki lembut” di mata JAIS dan dipukul rata sebagai seseorang yang perlu “disejatikan” kelakiannya. Dia akan dilayan seperti LGBT lain; dipandang serong, ditertawakan dan disasar untuk program “pemulihan.”

Pelbagai teori merepek dilempar untuk cuba menjelaskan kepada orang ramai bagaimana seseorang seperti Cikgu Erin boleh wujud dalam masyarakat kita. Menurut Izwan Yusof, seorang pakar LGBT daripada JAKIM yang berada di atas pentas pada malam itu, ada beberapa faktor yang menyebabkan seseorang menjadi LGBT. Contohnya, jika anak-anak dipakaikan baju yang “tak sesuai” dengan jantina. Kain sarong? Jubah? Seluar jeans? Seluar senam? Kemeja-T? Tali leher sekolah? Kemeja sekolah? Di mana garisannya?

Izwan juga mengingatkan ibu bapa tentang tiga waktu dalam sehari (selepas zohor, selepas asar dan selepas isyak) di mana anak-anak perlu mengetuk pintu kamar ibu bapa sebelum masuk. Menurut Izwan, ini kerana si ibu mungkin sedang bertukar pakaian dan kalau anak lelaki ternampak ibunya dalam keadaan hanya memakai coli, kemungkinan anak itu juga akan mahu memakai coli dewasa kelak. Teori merepek ini disampaikan “pakar” JAKIM itu dengan wajah serius dan nada yang prihatin. Saya berasa amat malu dan sedih melihat orang ramai terang-terang diperbodohkan. Dan saya marah kerana dana rakyat dibelanjakan untuk acara keagamaan yang sebegitu tak masul akal.

Saya juga keliru kerana naratif yang dijaja oleh sang triniti parti politik, institusi dakwah dan kerajaan melalui media massa adalah LGBT sebagai gejala budaya asing yang menular di Malaysia. Tapi rupanya seseorang itu juga boleh “tersongsang” gender dan seksualitinya akibat terpandang ibu sendiri dalam keadaan bercoli. Pelik sekali. Barangkali terlalu ghairah hendak memomokkan golongan terpinggir ini sehingga skrip berterabur dan menjadi tak konsisten.

Hanya sepekara yang saya setuju dengan Izwan iaitu ibu bapa perlu meluangkan masa dan melimpahkan kasih sayang kepada anak-anak agar mereka berasa yakin diri dan selamat. Tapi saya juga terfikir, selamatkah anak-anak yang berkelainan sifat dan sanubari dibawah pantauan institusi seperti JAKIM atau JAIS yang juga badan penguatkuasa? Atau adakah hak keselamatan hanya diperuntukkan kepada anak-anak yang dianggap “sempurna”?

Setelah tamat pusingan terkahir kuiz LGBT dan hadiah istimewa berbentuk kolam renang plastik habis diagihkan kepada pemenang-pemenang, saya dan teman bergerak pergi dalam kemurungan. Memikirkan badut, cupcakes, belon, Cikgu Erin, pantomim dan teori-teori pelik tentang LGBT, kami tertanya: Apa yang baru kita saksikan tadi?

Comments 2

    1. Post
      Author

      Sebab program adalah anjuran agensi kerajaan Selangor maka kerajaan mesti dipertanggungjawabkan juga.

Share your comment